Main Menu

Saturday 26 May 2012

Tenaga Bahagian 7


TENAGA: Belajar dari orang Jepun


KIRA-KIRA beberapa lama dahulu iaitu sebelum saya melangkah ke alam pekerjaan profesional, saya diberi peluang untuk melangkahkan kaki ke Jepun. Dalam masa yang sama, cuba mempelajari sesuatu daripada orang Jepun yang terkenal dengan seni perangnya.
Seni perang yang lebih halus daripada seni perang orang China yang selalu dibanggakan oleh sebilangan manusia di dunia. Jika dibandingkan dengan seni perang orang China, seni perang orang Jepun adalah jauh lebih halus.
Ketika sebelum melangkah kaki ke Jepun, saya memang sudah biasa bermain pedang Jepun ketika membesar dengan seorang saudara sedarah daging dengan saya selepas mendapat tunjuk ajar daripada guru yang berasal dari Jepun.
Kedatangan saya ke Jepun menjadi pengalaman pertama dalam memahami apa sebenarnya TENAGA yang tersimpan dalam diri. Tenaga yang membuatkan tubuh sentiasa bersedia dalam situasi yang tidak disangka-sangka.
Untuk bercerita mengenai TENAGA ini kepada semua pembaca yang saya hormati, saya terpaksa memulakannya dengan seni perang orang Jepun kerana daripada seni itulah saya memahami tenaga. Saya tidak mempunyai cara lain untuk menceritakannya melainkan terpaksa memulakannya dengan perkara ini.
Semasa dilatih secara intensif daripada seorang guru (guru paling tua kepada guru saya di Malaysia) ketika berada di Jepun, saya dihadapkan ke sebuah dojo (pusat latihan seseorang pengamal seni mempertahankan diri Jepun yang dibuka kepada orang ramai untuk menguji kehebatan masing-masing dengan cara melawat ke dojo itu untuk mencabar gurunya). Ia adalah sebuah dojo yang mempunyai tiga gelanggang iaitu gelanggang lantai buluh, lantai kayu dan lantai tanah.
Saya diberi pilihan untuk memilih gelanggang dan memilih untuk menguji kecekapan di perkarangan dojo (gelanggang tanah). Apabila diberi kebenaran memegang pedang, pertarungan bagi menguji kecekapan pun bermula.
Tiba-tiba, guru Jepun itu melempar pasir ke muka saya sehingga tidak dapat melihat. Guru Jepun itu kemudian berkata:
“Hey Malay boy, can you see the blade while your eyes shut?”
Sebelum pertarungan ujian kecekapan bermula, saya sudah pun tewas kerana tidak dapat melihat musuh selepas mata kepedihan akibat pasir yang dilempar guru Jepun itu.
“This is not about I cheat by throwing sand onto your face, it is about your failure to predict your enemy.” kata guru Jepun itu lagi.
Kemudian, guru Jepun itu mengambil telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang dengan bercakap bahasa mereka dan kemudian berbahasa Inggeris pula. Dia bercakap dengan guru saya di Malaysia dan ibu bapa saya di sana. Dia kemudian berkata kepada saya:
“You have to stay here until I permit you to leave,” tegasnya.
Di sini, saya ingin berkongsi dengan kamu semua mengenai apa yang telah saya pelajari semasa diberi peluang tinggal di Jepun selama beberapa tahun. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak tahu bagaimana cara untuk memulakan cerita mengenai tenaga melainkan memulakannya dengan bercerita mengenai seni perang orang Jepun.
Saya sampaikan semua ini dengan seringkas yang boleh supaya saudara Muslim dapat memanfaatkan pengetahuan ini.
--------------------------
DALAM bidang seni mempertahankan diri bagi masyarakat Jepun, terdapat pelbagai jenis disiplin mempertahankan diri. Manakala dalam kebanyakan seni mempertahankan diri dalam masyarakat Jepun, kebanyakannya ada menyelitkan ilmu pertarungan menggunakan pedang Jepun terutama Katana.
Apabila seseorang mempelajari kendo atau kenjutsu, seseorang akan tetap didedahkan dengan cara bertarung menggunakan Katana. Namun, teknik pertarungan Katana dalam apa jua seni mempertahankan diri masyarakat Jepun akan tetap mempunyai perbezaan dari segi disiplin gerak langkah, disiplin tahap waspada dan disiplin jarak dengan musuh.
Terdapat satu sisi yang meletakkan seni pertarungan Katana di tempat paling tinggi dalam masyarakat itu. Ia adalah sisi yang menyelitkan falsafah ilmu perang. Apabila seseorang menguasai teknik pertarungan Katana, dia belum pasti benar-benar cukup bagus untuk menghadapi musuh melainkan dia memahami Iaido.
Iaido secara teknikalnya adalah seni mempertahankan diri dan ilmu perang yang sulit untuk dijelaskan, lebih halus daripada ilmu perang China seperti dalam karya-karya Sun Tzu dan sebagainya. Ia tidak mempunyai sebarang teori melainkan hanya falsafah-falsafah dalam ilmu perang.
Seseorang juga tidak memerlukan guru untuk mempelajari Iaido, syaratnya hanyalah memahami falsafah-falsafah perangnya selain tahu cara berperang menggunakan segala jenis senjata termasuk pedang-pedang ‘elit’ Jepun seperti Katana, Wakizashi dan Tanto. Iaido adalah seni perang yang sangat halus dan tertinggi bagi orang Jepun. Seorang pahlawan Jepun tidak akan lengkap sekiranya tidak menguasai pemikiran perang Iaido.
-----
IAIDO: Seni mengharmonikan diri terhadap kekalutan medan perang.
Untuk memahami Iaido, pertama sekali ialah keperluan menyisihkan segala jenis sogokan pemikiran yang boleh melemahkan kewarasan. Juga tidak diperlukan kartun-kartun hikayat Naruto atau hikayat Samurai Showdown atau sebagainya untuk memahami Iaido. Kartun-kartun itu juga adalah sogokan pemikiran yang menjauhkan kewarasan daripada falsafah perang Iaido.
Tujuan artikel ini pula bukan untuk mengajar seni perang pedang Katana menggunakan Iaido kepada anda semua. Sebaliknya, sila fahami baik-baik falsafah yang terkandung dalam Iaido dalam menghadapi sogokan pemikiran yang menjauhkan akal daripada kewarasan. Selain itu, ada ‘perkara paling besar’ yang berkali ganda ebih elit daripada Iaido yang perlu anda fahami.
Istilah Iaido yang diperkenalkan pada 1930-an adalah istilah baru kepada Battojutse, manakala Battojutse pula adalah falsafah klasik seni perang Jepun sejak abad ke-15. Dari segi ‘roots’ falsafahnya pula masih terdapat elemen-elemen yang sama walaupun Iaido bertindak memperbaharui Battojutse. Dalam bahasa lainnya, Battojutse pada hari ini adalah Iaido yang asal. Dari segi maksud istilah, Iaido bermaksud seni mengharmonikan diri terhadap kekalutan di medan perang.
---

Pelajaran Satu lawan Satu

Pelajaran Pertama: Iaido bermula ketika pedang dikeluarkan daripada sarungnya.
Dalam pertarungan pedang Jepun, kepahlawanan seseorang perlu diperlihatkan sebaik sahaja berhadapan dengan musuh. Pedang perlu dikeluarkan daripada sarung dengan cara yang sangat berhati-hati, tidak teraba-raba mencari hulu pedang ketika mata merenung tajam ke arah mata sang musuh. Setiap gerakan tangan adalah tepat.
Semasa pedang ditarik keluar pula, ia perlu dipastikan tidak menghasilkan bunyi ‘ketap’ bagi menunjukkan kepada musuh bahawa tangan anda sangat cekap mengawal pedang meskipun ketika ditarik keluar daripada sarungnya yang sedikit ketat kerana Katana akan terkunci kemas apabila dimasukkan ke dalam sarung.
Tangan juga tidak banyak bergerak ketika Katana ditarik keluar, melainkan hanya tangan kanan dan ibu jari kiri yang bergerak sedikit (kurang daripada seinci pergerakan) ketika menarik keluar pedang. Ketika pedang ditarik keluar juga, mata musuh akan memerhati terhadap cara pedang itu ditarik keluar kerana Iaido yang berbahaya bermula dari situ.

Pelajaran Kedua: Pastikan musuh tidak dapat melihat saiz dan kepanjangan pedang.
Ia juga berkait rapat dengan cara pedang ditarik keluar. Kedudukan pedang semasa ditarik keluar perlu dipastikan berada pada garis lurus selari dengan arah penglihatan musuh. Ia seperti meletakkan pembaris pada garis selari dengan mata, yang kelihatan hanya pembaris yang leper, tetapi bukan kepanjangannya.
Musuh kebiasaannya akan segera mencuri pandang ke arah pedang ketika ia ditarik keluar daripada sarung. Ketika musuh mengalihkan mata ke arah pedang, seorang pahlawan perlu memandang tepat ke arah mata musuhnya meskipun musuhnya itu sedang mengalih pandangannya ke arah pedang.
Pahlawan yang bijak ialah pahlawan yang hanya menarik keluar pedang sehingga paras longgar sahaja dan bukan ditarik keluar keseluruhan pedang. Pedang yang ditarik longgar hanya sebagai persediaan sekiranya musuh tiba-tiba menyerang. Dalam keadaan tertentu, pedang adakalanya ditarik keluar sepenuhnya daripada sarung, tetapi kepanjangan saiz pedang itu tetap tidak diperlihatkan kepada musuh walaupun mata pedang itu dihala ke arah musuh.

Pelajaran Ketiga: Jangan pamerkan apa-apa perasaan, bertenang adalah kuncinya.
Paling penting sebelum memulakan pertarungan ialah tidak menunjukkan sebarang perasaan kepada musuh. Meskipun seorang pahlawan itu yakin akan dapat menewaskan musuhnya dengan mudah, dia sewajarnya tidak mempamerkan keyakinannya itu.
Adapun seorang pahlawan itu risau dan bimbang kerana musuh itu seperti dapat membaca setiap pergerakannya, perasaan risau dan bimbang itu juga tidak wajar dipamerkan kepada musuh.
Musuh harus direnung tanpa sebarang perasaan, tetapi bukan bermaksud musuh itu harus ditentang tanpa hati dan perasaan. Musuh harus dihormati, dalam Iaido musuh juga bukan semata-mata untuk dibunuh, sebaliknya musuh yang dihormati itu sebaiknya ditewaskan supaya dia kemudiannya menghormati seseorang pahlawan sebagaimana pahlawan itu menghormati musuhnya sebelum pertarungan.
Namun, perasaan hormat itu juga harus disembunyikan sehinggalah selesai pertarungan. Jangan biarkan sebarang perasaan itu terpamer sepertimana air yang bocor keluar melalui lubang pada baldi kayu. Perasaan bukan untuk dipamerkan.

Falsafah Pelajaran Satu hingga TigaMisteri itu sangat menakutkan bagi orang yang tidak memahami kemisterian musuhnya.
Kecekapan tangan mendapatkan hulu pedang dan ditarik keluar dari sarungnya tanpa memperlihatkan saiz kepanjangannya oleh seorang pahlawan yang tidak mempamerkan sebarang perasaan, akan menimbulkan banyak tanda tanya kepada sang musuh. Musuh akan diserang dengan pelbagai misteri mengenai pahlawan itu meskipun pertarungan belum bermula.
Saiz pedang masih samar-samar walaupun pedang sudah ditarik keluar dan dihala ke arah musuh. Ia menimbulkan misteri.
Pahlawan yang kelihatan tidak ada sebarang perasaan ketika berhadapan dengan musuhnya, ia juga menimbulkan misteri.
Iaido bukanlah seni perang yang memusatkan 100 peratus kemahiran fizikal dalam menghadapi musuh, ia sebenarnya lebih daripada itu. Ia menggabungkan tahap kecerdikan seseorang pahlawan dalam menghadapi musuhnya.
Apabila kecerdikan itu terpancar kepada musuh dalam ‘presentation’ yang penuh misteri, musuh mudah tergugat dan menggelabah. Langkah pertama orang misteri adalah langkah yang memaksa musuhnya berhati-hati.

Pelajaran Keempat: Orang yang memulakan serangan adalah orang yang akan kalah.
Dalam disiplin kebanyakan seni pertarungan pedang Jepun, orang yang memulakan serangan akan terdedah kepada pelbagai bahaya termasuk tangan akan dipotong oleh pedang musuh. Serangan yang cuai akan menyebabkan tangan, kaki atau juga kepala akan dipotong dengan mudah oleh musuh.
Apabila berhadapan dengan pedang (terutama Katana), seseorang pahlawan perlu mengelak daripada disentuh oleh pedang musuh. Katana ialah pedang paling keras dan paling tajam dalam teknologi perang tradisional orang Jepun. Ia adalah pedang yang mampu memotong besi.

Pelajaran Kelima: Menghormati ruang adalah serangan yang paling berbahaya.
Apabila diserang, seseorang pahlawan harus bijak menghormati setiap ruang yang dia ada untuk bergerak. Pergerakan itu pula bukan sekadar bergerak untuk mengelak, sebaliknya ia adalah pergerakan yang disusuli serangan balas.
Ruang dihormati bukan hanya sekadar bergerak mengisi tubuh di dalam ruang itu untuk mengelak, tetapi juga mengisi ruang itu untuk memanfaatkannya dengan melakukan serangan balas.
Pada ketika ruang itu dimanfaatkan, anggota badan musuh mungkin sudah dipotong dengan hanya bergerak sekali.

Falsafah Pelajaran Keempat dan Kelima: Bayaran untuk sikap gelojoh seorang pahlawan adalah darahnya sendiri yang membanjiri sungai.
Tidak perlu diterangkan mengapa sikap gelojoh hanya menanti nyawa sebagai bayarannya. Terburu-buru mengatur serangan hanya akan mendatangkan bahaya kepada diri sekiranya terlupa ‘mengawal’ setiap ruang yang terdedah.

Pelajaran Keenam: Sentiasa perhatikan mata pedang musuh walaupun mata sudah dibutakan (dicungkil) oleh musuh.
Walaupun pedang hanya sebagai alat untuk mengalihkan tumpuan terhadap serangan-serangan musuh, sikap berhati-hati terhadap bahaya pedang itu tetap tidak wajar diketepikan. Berusaha memerhati setiap arah pedang musuh digerakkan, kegagalan memerhati pedang akan membawa kesan yang tidak terhitung.

Pelajaran Ketujuh: Jangan asyik berhati-hati dengan pedang musuh kerana ia hanyalah senjata cantik untuk mengalih tumpuan.
Sebaliknya, tetap memerhatikan setiap pergerakan kaki dan tangan musuh yang sentiasa cuba mencari ruang untuk menumbuk atau menendang. Ketika mata asyik memberi perhatian kepada pedang, kaki dan tangan musuh akan terus berusaha mencari ruang untuk menumbangkan lawan.
Falsafah Pelajaran Keenam dan Ketujuh: Bayaran untuk kecuaian seorang pahlawan juga adalah darahnya sendiri.
Kecuaian memerhati dan berhati-hati terhadap setiap pergerakan musuh hanya akan membawa padah kepada seseorang pahlawan. Bayaran untuk kecuaian juga adalah nyawa yang melayang meskipun seseorang pahlawan itu bertarung dengan penuh kemanusiaan.
-----------
Pelajaran di medan perang

Pelajaran Kelapan: Dunia adalah tempat paling bahaya kepada pahlawan.
Persekitaran di medan perang sangat berbahaya bagi pahlawan yang tidak peka. Anak panah sentiasa melayang ke sana sini, pisau belati juga melayang ke sana ke sini mencari mangsa, tombak dan peluru meriam juga tidak kurang bahayanya.

Pelajaran Kesembilan: Gunakan telinga untuk kekal bernafas dalam dunia.
Sensitif terhadap persekitaran di medan perang dengan menggunakan segala deria yang ada untuk mengesan bahaya yang datang.

Pelajaran Kesepuluh: Jangan bunuh orang yang tidak melihat kamu.
Perkara yang membezakan antara pahlawan dengan binatang ialah perbuatan menerkam. Haiwan menerkam ketika mata mangsanya mengerlip ke arah lain. Bertarunglah dengan cara bermaruah ketika musuh bersedia menghadapi kamu.

Falsafah Pelajaran Kelapan hingga Kesepuluh: Pahlawan yang tidak mati dalam pertempuran adalah perwira yang hebat, pahlawan yang tidak membunuh adalah jauh lebih hebat.
Matlamat perang ialah membunuh musuh untuk mencapai kemenangan. Pahlawan yang sebenar ialah pahlawan yang menang tanpa membunuh, iaitu pahlawan yang berjaya meraih penghormatan daripada musuh-musuhnya yang dibenarkan hidup.
------------
Demikian sebahagian daripada Iaido yang menjadi ilmu falsafah perang paling tinggi dalam masyarakat Jepun. Ia adalah seni menghadapi musuh, seni meraih penghormatan daripada musuh selepas musuh itu ditundukkkan dengan penuh kebijaksanaan.
Sebelum seseorang memahami Iaido, adalah perlu untuk mengetahui sekurang-kurangnya satu gaya perang. Tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu hanya tahu gaya tempur silat gayung dari masyarakat Melayu sahaja, Iaido tidak hanya berkisar mengenai gaya perang orang Jepun semata-mata.
Iaido tidak mengajar cara atau teknik berlawan menggunakan senjata. Iaido juga tidak mengajar cara bertempur kerana tidak memerlukan rakan ‘sparring’ sebagaimana seni mempertahankan diri yang lain. Tiada guru yang boleh mengajar Iaido kerana ia tidak mempunyai teori atau kaedah praktikal, sebaliknya seseorang pahlawan itu yang perlu mengajar dirinya sendiri selepas dia memahami falsafah perang Iaido.
Seseorang pahlawan harus mampu mendengar seluruh bunyi-bunyian di alam sekelilingnya termasuk mendengar daun kering yang gugur ke bumi. Harus bijak membezakan bunyi deruan kekuatan angin, wajar bijak membezakan cahaya matahari dengan cahaya perisai perang yang terpantul.
Malah, juga wajar bijak membezakan bunyi lompatan ikan di air dengan bunyi-bunyi pergerakan dari air yang lainnya termasuk pergerakan manusia yang berjalan dalam air. Harus juga tahu membezakan bau manusia dengan bau binatang. Semua itu perlu sebelum mempelajari Iaido. Diperlukan selama bertahun-tahun sebelum menepati syarat mempelajari seni perang itu.
Rumusan daripada syarat-syarat itu ialah, seseorang pahlawan harus sensitif terhadap persekitarannya. Bagaimana cara untuk menjadi lebih sensitif terhadap persekitaran? Hormatilah seluruh isi langit dan bumi kerana mereka juga adalah mahluk ciptaan Allah.Taraf makhluk dan hamba Allah itu juga adalah setaraf dengan manusia, kita semua adalah hamba dan makhluk ciptaan-Nya.
‘Berbicaralah’ dengan makhluk-makhluk itu semua supaya kamu dapat mengenali ‘sifat’ dan ‘perangai’ mereka. Apabila mereka berkata-kata dan memberitahu ada bahaya, kamu akan lebih mudah memahami amaran-amaran yang diisyaratkan daripada mereka. Bukannya bercakap dengan pokok dan batu seperti orang gila, tetapi memahami setiap ‘perkara yang tidak semulajadi’ berlaku kepada mereka (alam sekitar).
Cuba angkat senjata ketika angin bertiup, dengarlah deruan angin yang melintasi mata pedang. Itulah bunyinya ketika musuh menghunuskan pedangnya untuk membunuh mangsanya ketika mangsa itu tidak menyedarinya. Dengarkan ‘lagu-lagu’ yang didendangkan oleh pedang, kamu akan tahu bahawa ada ‘besi tajam’ yang sedang berbicara dengan kamu.
----
“Now, can you see the blade?”
-----
Seluruh isi alam mengandungi tenaga dan semua pembaca yang sentiasa mengikuti blog Umat Terakhir sedia tahu mengenai perkara ini. Namun, ketahuilah bahawa tenaga-tenaga itu sentiasa berbicara dengan anda semua. Pelajarilah cara untuk berbicara dengan mereka pula.
Fahami setiap gelombang bunyi yang bertebaran bebas di langit raya. Dengan itu, kamu akan mampu mendengar suara walaupun ia adalah suara milik seorang wanita yang berbisik di dalam hatinya. Ataupun suara milik seorang pemimpin yang berpura-pura.
Ikhlas saya katakan, orang Islam dan orang beriman yang sentiasa membiasakan diri dengan berzikir akan lebih mudah memahami perkara ini berbanding orang Jepun sendiri. Apabila hati tenang mengingati Allah, maka dunia akan tiba-tiba terasa ‘senyap’ daripada segala kekalutan yang ada. Inilah perkara yang jauh lebih besar berbanding Iaido, paling besar daripada segala-galanya.
Jiwa akan lebih mudah fokus dan mata akan tetap mampu melihat apa yang berlaku meskipun mata dipejam. Muncul warna-warna yang membantu penglihatan semasa mata dipejam ketika hati dalam keadaan tenang.
Meskipun kamu memejamkan mata di hadapan orang ramai, warna-warna itu akan membantu penglihatan dengan mempamerkan ‘kelibat’ orang-orang yang melintas di hadapan kamu. Warna-warna itu akan membentuk kelibat-kelibat setiap objek yang melintasi ruang di hadapan kamu.
Warna-warna itu tidak akan berupaya membentuk kelibat-kelibat semua itu sekiranya minda tidak mampu memproses perbezaan bunyi dan gelombang yang berada di sekitar kawasan itu pada masa itu. Gelombang dan bunyi-bunyi di sekeliling akan membantu warna-warna itu menyusun bentuk kelibat mengikut ‘identiti’ objek itu masing-masing.
------
“Now, can you see the blade while your eyes shut?”
“Yes.. attack me if you dare.”
-----
Ia bukan hanya ilmu falsafah yang membantu diri dalam peperangan fizikal, malah ia juga membantu dalam menghadapi persekitaran mencabar hari ini. Ia juga adalah falsafah yang sama digunakan sang musuh untuk melalaikan kamu semua. It is an art within philosophy.
Jika musuh ada pedang, kamu juga perlu ada pedang atau senjata lain yang lebih hebat daripada pedang.
Belajarlah sesuatu daripada Iaido. Kita bukan bermaksud untuk mengagungkan budaya orang Jepun, tetapi tidak salah sekiranya kita belajar sesuatu daripada mereka kerana ilmu itu semuanya milik Allah. Tuntutlah ilmu kerana Allah. Nescaya akan memperolehi keberkatan, kemudahan dan petunjuk-Nya.


END OF LESSON No.1

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

Powered by Blogger.

Search