Main Menu

Saturday 26 May 2012

Tenaga Bahagian 8


Nota: Tenaga Ritual

Sub topik: Khurafat

DALAM amalan khurafat, sesetengah golongan percaya bahawa sesuatu barang itu mempunyai kuasa tertentu termasuk kemampuan ia menyembuhkan penyakit, termasuk penyakit ghaib. Kepercayaan sesat itu bukan hanya termaktub dalam bumi Melayu, malah ia sudah lama tersebar ke seluruh pelosok bumi sejak berabad lama di kalangan pelbagai bangsa.
Bagi mereka yang ‘menganut’ kepercayaan sedemikian, nasihat pertama ialah tinggalkan amalan tersebut serta merta. Ada satu rahsia untuk diberitahu kepada semua di sebalik amalan khurafat itu semua. Pengamal khurafat bukan sahaja kerugian wang (harta) yang banyak untuk memiliki objek khurafat itu semua yang sia-sia, malah kerugian adalah jauh lebih besar daripada kewangan. Gunakanlah harta di jalan yang halal seperti bersedekah dan sebagai belanja nafkah anak isteri, tetapi bukan di jalan khurafat.
Sebelum itu, sila rujuk topik Tenaga Ritual Bahagian Asas serta sila fahami perkara-perkara di bawah ini sebelum kita masuk kepada perkara yang mahu dihadam oleh kewarasan kita di sini.
-------------
Kaca mata sains

Kita masuk dalam lensa penglihatan sains terlebih dahulu. Seperti yang semua daripada kita sedia maklum, setiap objek dan makhluk masing-masing mempunyai tenaga. Tenaga itu pula terdiri daripada pelbagai padatan atom (ratus jenis dan juta jenis) yang membentuk rumus-rumus baru yang kompleks sehingga membentuk karbon-karbon yang membentuk rupa fizikal sesuatu pepejal.
Dalam ilmu kaji atom pula terdapat teori yang diterima pakai oleh semua pakar iaitu semakin kecil sesuatu zarah (atom) itu memberi petunjuk bahawa semakin besarlah juga tenaga yang boleh dihasilkannya.
Malah, setiap objek (makhluk) di bumi dan seluruh alam semesta ini masing-masing dibina dengan cantuman atom-atom tersebut, termasuklah manusia dan planet ini. Di sebalik atom-atom itu, tersimpan sesuatu yang dinamakan sebagai tenaga.
Manakala dalam displin kimia, beberapa unsur yang unik (karekter asas sesuatu unsur) akan membentuk objek baru apabila ia bergabung dengan satu atau lebih unsur-unsur lain. Contoh popular ialah ikatan dua unsur berbeza iaitu hidrogen dan oksigen yang membentuk unsur baru iaitu air apabila ia bercantum dan terikat dalam satu ikatan baru.
Maka dengan itu seperti yang diterangkan dalam artikel-artikel sebelum ini iaitu sifat tenaga yang tidak musnah (selagi diizinkan Allah) tetapi sebaliknya berubah daripada satu bentuk kepada bentuk lain, adalah terpakai dalam ikatan unsur-unsur berbeza sehingga membentuk objek baru seperti terciptanya air dari kaca mata sains.
Tetapi dalam mendalami unsur tenaga dari aspek spiritual dan ghaib, kita tidak wajar berpegang kepada sains secara mutlak walaupun ia boleh membantu membawa kita kepada pemahaman mengikut ilmu logik.
Namun, kita tidak cenderung menjadikan ilmu logik sebagai asas pemahaman dalam konteks yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebaliknya, kita memerlukan banyak maklumat berkaitan tanpa mengira sama ada ia maklumat saintifik atau mistik, semua maklumat itu wajar diteliti dari semua arah yang bersesuaian.
Sesuatu objek itu terbentuk apabila ia melalui proses perubahan karbon (sila rujuk bahan bacaan berkaitan melalui sumber saintifik) termasuklah komputer yang kita sedang menghadap sekarang ini.
Apabila bahan polimer diubah bentuk menjadi plastik, sudah berlaku perubahan karbon semasa ia dicairkan dan dibentuk semula menjadi rupa baru iaitu plastik. Malah, polimer sebelum ia menjadi polimer juga melalui proses perubahan karbon selama beratus ribu tahun daripada produk-produk fosil di dalam perut bumi dengan tekanan-tekanan tertentu. Bahan-bahan asal (termasuk objek organik pada asalnya) yang membentuk fosil juga melalui proses perubahan karbon sebelum ia menjadi fosil.
Polimer itu kemudian dicampur bersama gentian fiber dan membentuk produk baru sehingga menjadi sebahagian daripada komputer yang diguna sekarang. Begitu juga dengan kaca monitor komputer, masing-masing melalui proses perubahan karbon dalam kitaran tersendiri. Kaca dicairkan menggunakan suhu yang tinggi. Setiap objek yang melalui proses ‘contact’ dengan suhu panas juga akan melibatkan karbon dan oksigen. Unsur karbon masih ada di situ.
Maka dengan itu, tenaga berubah-ubah apabila melalui proses perubahan karbon yang membentuk objek baru kerana ia melibatkan disiplin suhu (dari kaca mata kimia). Dengan itu juga, setiap objek yang kita sentuh dan guna juga masing-masing mempunyai karbon. Begitulah juga dengan objek-objek yang organik, masing-masing mempunyai karbon kerana kita hidup dalam dunia yang mempunyai suhu (panas dan sejuk).
Dalam konteks organik, kita ambil daun hijau sebagai contoh. Rupa daun akan berubah daripada hijau kepada coklat apabila ia mati atau kering. Proses pengeringan daun secara semulajadi juga melibatkan suhu.
Ia (daun) mati kerana hayatnya telah ditentukan Pencipta (dari kaca mata spiritual) dan ia kemudian menjadi kering kerana terdedah kepada suhu dan cahaya selain gagal melengkapkan proses fotosintesis secara berterusan (dari kaca mata sains). Tenaga pada daun itu berubah daripada daun yang hijau kepada daun kering berwarna coklat kerana melalui proses perubahan karbon.
Apabila daun itu reput, ia juga sedang melalui proses perubahan karbon peringkat seterusnya. Selepas ia mereput sepenuhnya dan menjadi baja, ia juga masih melalui proses perubahan karbon. Kemudian baja (sumber tenaga) itu diserap pula oleh tumbuhan lain bagi mewujudkan proses yang baru.
Tenaga daun itu berpindah daripada daun yang hijau kepada menjadi baja yang diserap pula oleh tumbuhan yang masih hidup dalam kitarannya. Tenaga itu mengitar dalam proses berterusan selagi diizinkan Pencipta. Namun, jangan kaitkan ia dengan fahaman ‘kelahiran semula’. Ia berbeza sama sekali.
Kenapa diterangkan mengenai proses kimia dan sains ini? Ia kerana terdapat satu ilmu mistik yang mana orang barat memanggilnya sebagai ‘alchemy of magic’. Ilmu sihir berasaskan konsep mengubah fungsi kimia ini bukan hanya diamalkan di barat, malah di seluruh pelosok dunia tanpa mengira bangsa.
Fungsi kimia sesuatu objek diubah dengan amalan mistik untuk tujuan tidak baik dan sesat melalui bantuan sihir yang dilaknat Allah. Dalam erti kata lain, ‘alchemy of magic’adalah ilmu kimia kuno untuk tujuan sihir dan khurafat.
Apabila sesuatu objek digunakan secara khurafat, maka tenaganya pula adalah sejenis tenaga yang panas dan terasing daripada hukum-hukum fizik dan kimia yang dikenali manusia secara ilmu logik. Tenaga gelap dan panas yang menyesatkan.
----------
Tenaga panas aneh

Di dalam Islam, kita diterangkan oleh Allah mengenai asal kejadian syaitan dan Iblis yang dicipta daripada api. Maka dengan itu, kita wajar mengenal sifat-sifat api untuk membantu kita menjadi peka terhadap kehadiran makhluk-makhluk api (syaitan) itu.
Api adalah unsur yang panas sifatnya, menjadi terang apabila menyala di dalam gelap.
Ketika manusia terperangkap dalam sebuah tempat yang gelap dan menjumpai unggun api, maka api itu akan dianggap sebagai cahaya. Maka tidak hairanlah apabila ada manusia yang bercahayakan api dalam hidupnya (menjadikan syaitan sebagai teman) dan menganggap cahaya api itu sebagai cahaya hidupnya. Apa sebenarnya maksud saya dalam perenggan ini?
Apabila manusia tercari-cari jalan untuk menyelesaikan masalahnya, maka syaitan akancuba mencari jalan untuk menyesatkannya. Lalu syaitan memetik bisikan kepadanya supaya berbuat itu dan ini (bisikan digambarkan sebagai cahaya api) sedangkan bisikan itu mengajaknya ke arah khurafat. Manusia yang terpedaya itu kemudian menjadikan objek khurafat itu sebagai cara untuk menyelesaikan masalahnya termasuk mengubati penyakit, menguatkan nafsu syahwat dan sebagainya. Manusia terpedaya itu akhirnya menganggap cahaya api itu sebagai cahaya hidupnya yang menyelesaikan masalah-masalahnya.
Api adalah unsur tenaga yang menumpang. Api tidak akan menyala sekiranya tiada objek yang boleh ditumpangnya. Kita tidak boleh menyalakan api tanpa kertas, kayu atau sebagainya untuk dibakar bagi mendapatkan api. Api tidak ‘hidup’ seperti objek lain, sebaliknya ia harus menumpang untuk menyala. Menumpang pada kertas atau kayu untuk membolehkan ia marak dan membakar.
Kita hanya ambil dua sifat api untuk memahami tenaga dalam objek khurafat. Dua sifat itu adalah panas dan menumpang.
Setiap objek mempunyai risiko untuk ditumpangi api (seperti organisma yang boleh mereput) iaitu boleh terbakar, atau menyerap haba (seperti batu, besi dan tanah). Dari sudut mistik pula, syaitan juga melakukan perkara yang sama iaitu menumpang sesuatu objek. Syaitan menumpang pada objek-objek seperti kain, keris, batu, malah dalam tubuh manusia sekalipun.
Apabila makhluk itu menumpang, ia juga memberi maksud bahawa tenaga yang tidak dikenali manusia turut wujud dalam objek itu. Seperti tenaga-tenaga lain, tenaga yang tidak dikenali manusia itu juga akan berubah bentuk.
Dalam kebanyakan objek khurafat seperti kain tertentu, batu, kayu atau sebagainya yang digunakan secara khurafat, objek-objek berkenaan memiliki ciri-ciri yang aneh. Contohnya batu cincin yang seperti ada imej pelik, kayu yang berbentuk pelik dan sebagainya. Ia kerana rupa fizikal objek yang ditumpang oleh makhluk api itu telah berubah disebabkan tenaga makhluk itu sendiri. Disebabkan itu, rupa objek itu kelihatan aneh.
Dalam amalan sihir, seseorang pengamal itu selalunya disyaratkan supaya mencampurkan pelbagai bahan berbeza untuk menguatkan sesuatu sihir (rujuk contoh ikatan hidrogen dan oksigen yang membentuk air). Contohnya cebisan kain kapan orang yang mati atas sebab tertentu dicampurkan dalam air untuk dijadikan racun santau selepas dibacakan serapah-serapah (kod-kod) tertentu untuk mengaktifkan sihir. Malah, ada yang secara curang kepada Allah dengan menyalahgunakan ayat al-Quran bagi tujuan itu.
Contoh lain seperti memasukkan batu cincin tertentu ke dalam air untuk dijadikan ubat penawar sesuatu penyakit. Ia adalah konsep ilmu khurafat ‘alchemy of magic’ seperti yang diterangkan sebelum ini. Fungsi kimia sesuatu bahan itu (air seperti dalam contoh di atas) diubah dengan mengikat ia dengan bahan lain melalui kod-kod ucapan (jampi) tertentu. Fungsi baru yang terhasil itu mungkin sekali menjadi racun santau, ubat pengasih (love potion), pelaris dan seumpamanya.
Seperti diterangkan sebelum ini, suhu memainkan peranan penting dalam mengubah sesuatu unsur karbon dalam sesuatu organisma atau objek. Maka, suhu tenaga daripada makhluk yang menumpang pada objek itu membantu mengubah fungsi sesuatu objek yang digunakan untuk tujuan khurafat.
Secara ghaib, kita tidak tahu berapa banyak bilangan makhluk api itu dapat menumpang sesuatu objek. Terdapat kes pengubatan mengusir gangguan dalam tubuh manusia yang mana tubuh seorang wanita ditumpang oleh berbelas ‘ekor’ syaitan. Perkara yang sama juga boleh berlaku kepada objek lain seperti batu atau kain yang digunakan secara khurafat, mungkin beratus ‘ekor’ sedang menumpang dalam sehelai kain atau sebutir batu cincin. Pengamal khurafat pula menggendong beratus ekor makhluk itu kesana ke mari tanpa sedar dan tidur bersama di rumah dengan melepaskan najis mereka ke merata tempat.
Apabila objek-objek khurafat itu diaktifkan dengan ucapan-ucapan serapah atau mantera tertentu, akan berlaku perubahan suhu pada objek-objek tersebut. Kertas-kertas kajian yang dilakukan oleh para pengkaji paranormal di seluruh dunia merekodkan, rumah-rumah usang yang tidak didiami manusia mempunyai bacaan suhu yang tidak sekata disebabkan adanya makhluk paranormal yang wujud (menumpang) di situ.
Malah, hasil kajian tempatan (sumber pengkaji paranormal tempatan) yang kami temui beberapa tahun lalu juga memberi maklumat hampir sama iaitu tubuh manusia yang dimasuki entiti paranormal juga menunjukkan perubahan suhu ketara semasa menerima gangguan (dirasuk).
Seperti yang kita tahu, tenaga hanya dibebaskan tetapi tidak musnah. Objek yang ‘dicampur’ dengan makhluk api pula mewujudkan tenaga yang baru seperti diterangkan dalam perenggan-perenggan terdahulu. Apabila tenaga itu terbebas, ia mengakibatkan perubahan suhu sekeliling yang mempunyai risiko lain. Tidak percaya?
Ambil pula contoh ini. Katakan seseorang duduk seorang diri dalam bilik yang ada pendingin hawa (aircond), seseorang itu pasti akan merasa kesejukan (menggigil jika tidak tahan suhu) jika duduk seorang diri selama berjam-jam di dalam suhu bawah 24 celcius. Namun, seseorang tidak berasa sangat sejuk sekiranya terdapat ramai orang selain dia dalam bilik aicond itu. Ia kerana tubuh setiap orang membebaskan haba, dan haba itu pula ialah tenaga, tubuh kita menyerap tenaga (haba) mereka dan kita tidak terlalu kesejukan.
Maka apabila tenaga objek yang bercampur dengan tenaga makhluk api itu dibebaskan, ia akan mewujudkan persekitaran tenaga yang tidak baik. Akibatnya, pengamal khurafat itu juga akan menerima kesan selain daripada mangsa-mangsa amalan khurafat mereka.
Apakah kesan-kesan buruk itu terhadap tubuh dan persekitaran tenaga? Ia adalah terbentuknya vortex. (rujuk Tenaga Ritual Bahagian Asas, keterangan Barbara Brennan dan Selena Fox, dalam blog ini).
Di kalangan pengamal sihir kuno di Eropah, terdapat istilah Mana Vortex dan ia hanya sekadar istilah yang diberi nama oleh manusia. Dalam alam sihir Melayu pula, ia dipanggil pintu syaitan atau pintu alam ghaib atau lain-lain nama, walaupun berbeza dari segi pengistilahan, ia tetap merujuk kepada perkara yang sama.
Vortex terbentuk apabila sejumlah tenaga berbeza (panas dan sejuk) bertembung dalam satu persekitaran atau ambience tertentu (yang disediakan oleh orang yang mempunyai maksud terhadapnya). Dalam erti kata lain, ia terbentuk akibat pertembungan suhu.
Ada pengamal khurafat melakukan amalannya pada waktu pagi, ia kerana persekitaran bagi amalan itu diperlukan mengikut suhu waktu pagi. Begitu juga yang melakukannya pada waktu petang atau tengah malam, ia melibatkan suhu yang diperlukan pada waktu itu.
Pengamal khurafat juga (berdasarkan rekod yang diperolehi daripada beberapa responden) berasa sesuatu kelainan apabila melakukan ritual pada waktu itu. Ia (berasa ada kelainan terhadap persekitaran) mungkin dipengaruhi oleh vortex yang terhasil pada waktu itu. Ada yang berasa selesa kerana telah sebati dan ada juga yang berasa ‘panas’ dan pelik setiap kali melakukan perkara sia-sia tersebut.
Walau apa pun kesannya, tidak ada kesan yang lebih buruk daripada syirik di kalangan orang yang mengerjakan amalan khurafat. Membuka vortex dengan ‘dunia satu lagi’adalah perbuatan yang dilarang. Manusia dilarang berhubung dengan makhluk-makhluk ghaib dalam apa cara sekalipun.
Amalan khurafat akan menyebabkan tenaga negatif terhasil dengan banyak. Tenaga negatif itu mengakibatkan seseorang manusia menjadi lebih sesat. Perbuatan yang sia-sia itu juga perlahan-lahan melemahkan tenaga murni yang wujud dalam diri seseorang manusia.
Apabila bulan gerhana, semakin banyaklah amalan khurafat dan sihir dilakukan pada waktu itu di seluruh pelosok dunia di kalangan pelbagai bangsa sejak berkurun lama. Ketika gerhana, suhu dunia juga berubah dan suhu sememangnya memainkan peranan dalam amalan khurafat dan sihir yang sesat. Umat Islam yang disunatkan mengerjakan amalan solat sunat gerhana juga mengandungi hikmah yang hanya diketahui Allah.
Begitu juga dengan amalan memasang lilin dan menggunakan bara api dalam amalan sihir, ia juga melibatkan suhu api dan bara itu sendiri untuk membuka vortex. Apabila suhu berbeza bertembung, vortex terhasil.
Batu, kain dan besi itu sifatnya menyerap haba. Apabila ia dicelup ke dalam air, maka berlaku pertembungan suhu dan terhasil vortex. Apa pula yang akan keluar melalui vortex itu?
Andai sesuatu barang itu diletakkan kepercayaan bahawa ia boleh mengubat penyakit atau menjadi pelaris, maka akan ada makhluk yang akan segera menumpang pada objek itu untuk menyesatkan manusia. Jadi, apakah kesan daripada tenaga yang terhasil akibat amalan khurafat? Tenaga murni dalam diri akan terganggu, hidup menjadi tidak tenang sepanjang hayat selagi tidak bertaubat.
Keterangan dalam nota ini juga masih belum mampu menerangkan kesan tenaga itu kepada manusia dan persekitaran tenaga di sekeliling kerana saya masih gagal menemui cara yang terbaik dan perkataan yang sesuai untuk disampaikan.

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

Powered by Blogger.

Search