Main Menu

Saturday 26 May 2012

Tenaga Bahagian 3


Di dalam kamu dan kita semua

SETIAP objek yang berada di Bumi dan galaksi-galaksi memiliki daya tenaga tersendiri. Setiap sel dalam makhluk unisel, multisel dan makhluk sel kompleks yang terbina juga mempunyai tenaga. Dengan itu, seluruh galaksi yang wujud di seluruh ruang angkasa yang tidak diketahui jarak dan keluasannya itu masing-masing mempunyai tenaga.
Cahaya matahari membekalkan tenaga solar, pukulan ombak juga membekalkan tenaga, begitu juga dengan arang batu, galian-galian seperti petroleum, uranium, plutonium dan sebagainya. Masing-masing mempunyai tenaga. Manusia juga memiliki tenaga. Tenaga wujud di merata-rata objek di seluruh alam semesta raya merentas galaksi, ruang masa black hole, gelung angkasa worm hole dan bermacam lagi fenomena di angkasa galaksi.
Manusia kebiasaannya (kita lihat dari sudut sains perubatan) akan terus hidup selagi wujud tenaga. Apabila manusia itu kehabisan tenaga ke tahap kosong, maka manusia akan mati kerana jantung tidak punyai cukup tenaga untuk mengepam darah atau otak sudah tidak punyai cukup tenaga untuk mengawal seluruh fungsi tubuh. Tanpa tenaga, manusia akan maut akibat pulse dead (kematian akibat kegagalan jantung) dan brain dead (kematian akibat kegagalan otak) kerana tidak punyai cukup tenaga untuk meneruskan fungsi dua organ utama dalam tubuh itu.
Manakala dari sudut pegangan agama Islam, manusia pasti akan mati apabila tiba ajal yang dijemput oleh Malaikat Izraeil atas kehendak Allah. Selagi tidak diizinkan Allah, manusia akan terus hidup walaupun hanya mampu terlantar sakit berbekalkan sisa-sisa tenaga yang masih ada.
Sebelum menjelaskan mengenai maksud sebenar artikel ini, kita ulangkaji bab tenaga terlebih dahulu. Isaac Newton pada 1687 menerbitkan Philosophia Naturalis Principia Mathematica yang menerangkan hukum-hukum pergerakan jisim di angkasa. Menurut Newton, terdapat tiga pertalian hukum dalam pergerakan tersebut iaitu:
- sesuatu objek yang dalam fasa rehat akan terus berehat dan sesuatu objek yang bergerak secara perlahan dalam garis tetap akan mula bertindak balas apabila terjadinya rangsangan luar. Tenaga atau daya akan pantas terhasil apabila menerima rangsangan.
- kadar perubahan momentum sesuatu jasad atau jisim atau objek di angkasa adalah berkadar kepada daya rangsangan balas terhadap jasad atau jisim atau objek melalui arah yang sama.
- bagi setiap tindak daya yang merangsang, terdapat tindak balas yang sama dan bertentangan iaitu daya yang sama digunakan dari arah bertentangan itu. Daya itu saling bertindak balas dengan kekuatan yang sama dari arah bertentangan.
Newton menjelaskan mengenai dua perkara penting iaitu tenaga akan terhasil selepas objek menerima rangsangan, dan tindak balas tenaga akan terhasil dengan kekuatan yang sama yang diterima objek itu. Dua perkara ini wajar (bukan harus, tetapi wajar) difahami untuk menemui tenaga yang kita cari melalui artikel ini, iaitu...

'Tenaga murni' dalam jasad benda hidup
Ia adalah faktor penting dalam setiap benda hidup. Tenaga ini wujud dalam bentuk ‘hidup’ dan sifatnya seperti akan terus ‘mengalir’ selagi hidup. Tenaga ini hidup dalam bentuk ‘haba’. Walaupun begitu, tenaga ini wujud dalam setiap yang wujud di alam semesta seperti batu, udara, angin, air dan sebagainya, tidak hanya berkisar mengenai benda hidup semata-mata.
Melalui tenaga ini, seluruh makhluk yang wujud di dunia berada dalam keadaanseimbang walaupun terdapat perbezaan dari segi komposisi bagi keunikan setiap kejadian masing-masing. Walaupun tanah secara fizikalnya mampu menyerap air, tetapi sungai tidak kering. Meskipun matahari mengeringkan air di permukaan bumi, tetapi air tetap terapung di udara menjadi awan dan tidak hilang melainkan akan turun semula ke bumi sebagai hujan.
Air tetap menjadi awan dan menjadi air semula. Ia tidak terus hilang dan tidak pula musnah menjadi ‘makanan’ kepada matahari. Air hanya dipindahkan ke udara menjadi wap sebagai awan, tenaga hanya dipindahkan tetapi tidak dimusnahkan. Alam bergerak dengan harmoni kerana ia murni.
Manusia juga benda hidup. Maka dengan itu, manusia memiliki tenaga murni ini yang berirama dengan sangat harmoni bersama alam sekitar tanpa pergeseran. Tenaga yang murni itu juga bergerak secara harmoni dalam setiap organ yang terdapat dalam tubuh manusia itu sendiri. Darah bergerak dalam pembuluh saraf dan membasahi pula otot-otot dan daging menjadi merah tanpa diresap keluar daripada tubuh sebagaimana peluh.
Tumbuhan-tumbuhan juga memiliki tenaga murni ini. Apabila manusia didatangi penyakit, maka tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai ubat bagi memulih dan menguatkan tenaga ini. Apabila manusia kesejukan, maka manusia akan duduk dekat dengan api yang membantu memanaskan badan atau meminum air yang telah dididihkan untuk meningkatkan suhu badan. Sama juga apabila manusia kepanasan, manusia akan berusaha mendapatkan udara dan angin serta air sejuk untuk menyejukkan badan.
Ia kerana tenaga yang terdapat dalam setiap perkara yang berada di bumi ini dapat membantu manusia menyeimbangkan tenaga murni ini. Tenaga itu mengalir dari alam sekitar ke tubuh manusia dan mengalir keluar semula kepada alam sekitar secara kitaran. Ia pergi semula ke tempat asal ia datang secara berkitaran dan musnah apabila Pencipta berkehendakkan ia musnah.
Manusia dianugerahkan akal dan minda. Secara tidak langsung, tenaga ini juga wujud dalam minda dan akal manusia, ia membolehkan fungsi otak berjalan dengan teratur bagi membolehkan manusia bergerak selepas otak menghantar maklumat kepada organ-organ lain seperti tangan, kaki dan sebagainya untuk melakukan pergerakan. Tenaga itu yang wujud dalam minda manusia boleh dipindahkan sebagaimana hukum tenaga sendiri. Tenaga boleh dipindahkan melalui arahan otak kepada organ-organ tubuh.
Melalui cara normal, minda akan berfikir dan hasil daya fikir itu boleh dipindahkan dalam bentuk tulisan yang boleh dibaca oleh orang lain. Tangan akan menulis selepas otak menghantar arahan kepada tangan untuk mula menulis setiap baris perkataan yang terlintas dalam minda dan akal. Ia hanya contoh dari segi untuk melihat ia dipindahkan secara normal.

Tenaga yang terapung dan mengalir
Apabila tenaga ini dibebaskan, ia tidak musnah. Sebaliknya akan terapung di udara dan menjadi sebahagian kandungan udara yang kita sedut untuk terus hidup. Kedengaran pelik dan tidak masuk akal, tetapi itulah tenaga yang tidak musnah dan terus berada dalam kitarannya.
Kita bernafas udara yang mengandungi paras nitrogen dalam peratus yang lebih tinggi berbanding oksigen dan helium. Udara yang kita sedut itu pula bukan 100 peratus oksigen kerana oksigen hanya disedut dalam peratusan yang lebih kecil berbanding nitrogen.
Selepas disedut, kita membebaskan pula karbon dioksida bersama gas-gas lain yang tersisa daripada udara yang kita sedut sebelum itu. Karbon dioksida itu pula diserap oleh daun-daun dan kemudiannya membebaskan pula oksigen kembali ke udara. Kitaran itu berpusing dan berputar dalam ritma yang murni dan harmoni.
Hidupan berdedaunan di dasar sungai dan lautan juga melalui proses yang sama dalam kitaran udara. Oksigen mengalir dan timbul dipermukaan air untuk disedut oleh manusia dan haiwan serta bakteria, proses itu terus berulang dalam kitarannya. Contoh itu hanya sebagai gambaran paling mudah untuk menjelaskan bagaimana tenaga itu terapung dan mengalir dalam bentuk udara. Namun, tenaga murni itu bukan hanya udara semata-mata. Ia melibatkan semua yang saling bergantungan di seluruh bumi dan alam semesta.
Planet-planet terapung di angkasa kerana ia punyai tenaga dengan izin Tuhannya (Allah Maha Pencipta). Planet juga berputar dalam orbitnya kerana masih punyai tenaga selagi diizinkan Maha Pencipta. Bintang-bintang membakar, menyala, bersinar dan membebaskan tenaga yang disimpannya selagi diizinkan Penciptanya. Bintang terbakar kerana ia masih punyai tenaga, haba bintang itu pula dipindah keluar untuk mengembara ke seluruh angkasa sebagai sebahagian radiasi dan sebagai sebahagian tenaga, menunggu untuk dimanfaatkan manusia. Meskipun cahaya bintang dan matahari beradiasi, bumi masih berupaya menapisnya. Itulah keseimbangan.
Walaupun tenaga murni itu juga wujud dalam manusia, ia hanya sekadar wujud tanpa disedari manusia. Hakikat kewujudannya akan disedari apabila manusia itu mencari jalan untuk sebati dengan alam. Untuk sebati dengan alam, kita wajar mengembalikan kitaran diri kita kepada alam. Mengembalikan diri itu pula bukan bermaksud mati dan kembali kepada tanah semata-mata. Wajib hidup selagi hidup.

Tubuh perlu seimbang dengan persekitaran tenaga
Untuk menjadikan tubuh seimbang dengan persekitaran, tidak sukar. Hanya perlu menolak setiap perkara yang tidak boleh diterima tubuh. Menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai ubat sebagai contohnya, bukan ubatan kimia yang dihasilkan di makmal-makmal perubatan moden.
Hanya makan makanan yang diproses tanpa sebarang gangguan atau campuran kimia asing. Makan secara seimbang. Menjauhi alkohol yang terhasil secara proses penapaian kerana ia tidak terhasil secara semulajadi, alkohol tidak terhasil di atas pokok sebagaimana terhasilnya air kelapa atau nira segar.
Alkohol terhasil apabila kita menapai anggur, gandum, beras, buah, nasi dan sebagainya selama beberapa tempoh. Perubahan struktur asid semasa proses penapaian itu dilakukan secara paksa dan ia tidak akan terjadi dengan sendiri (seperti di atas pokok) sekiranya kita tidak membawa apa-apa makanan kepada proses penapaian itu. Alkohol pula akan mengelirukan saraf, tenaga dan akal apabila ia sampai ke dalam tubuh. Minda pula rosak.
Apabila hanya makan makanan yang tidak bercampur baur dengan kimia atau diproses sehingga menjejaskan kualiti makanan, tubuh akan sihat dan minda akan menjadi sihat. Tubuh yang sihat pula akan merendahkan risiko terhadap kedatangan penyakit-penyakit berbahaya. Hasilnya, tubuh dan minda berpotensi untuk berada dalam kondisi terbaik.
Jadi, jelas bahawa apabila kita hidup secara ‘organik’ (dalam konteks ini) tubuh akan sihat dengan izin-Nya dan minda akan segar untuk sentiasa memikirkan kebesaran-Nya dalam mencipta seluruh isi langit dan bumi. Tubuh perlu seimbang dengan persekitaran tenaga, hidup secara ‘organik’ selagi boleh dan kita akan menemui titik besar dalam diri andai diizinkan-Nya.
Dipermudahkan lagi, jauhi makanan proses (makanan tin, makanan segera, pengawetan makanan tinggi kandungan kimia, gula dan garam) dan hanya makan makanan yang bebas kimia, seimbang dan sihat. Sekali lagi dipermudahkan, makan seperti orang dulu-dulu makan yang tidak ada bahan kimia. Dipermudahkan lagi, makan seperti amalan pemakanan nabi. Ia kerana minda dan sifat serta sikap seseorang manusia akan dipengaruhi oleh setiap butir makanan yang kita jamah.
Apabila tubuh sudah mula seimbang dengan persekitaran, minda akan berfungsi dengan baik. Tubuh akan berfungsi dalam kondisi terbaik. Kognitif akan mula melenyapkan persepsi yang buruk sangka. Pemikiran akan kembali segar tanpa begitu mudah dipengaruhi oleh pengaruh-pengaruh asing.
Saya beri tempoh sebulan sepanjang Ramadan ini untuk adik-adik, pakcik-pakcik, makcik-makcik, tuan-tuan dan puan-puan semua membetulkan budaya pemakanan terlebih dahulu supaya tenaga yang ada dalam tubuh kembali harmoni dengan persekitaran. Jaga pemakanan terlebih dahulu. Saya mahu semua menjadi sihat dan melahirkan generasi yang bijak pandai untuk membela agama kita.

Maksud sebenar artikel ini hanya akan diberitahu nanti. Jika saya terlupa, tolong ingatkan.

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

Powered by Blogger.

Search