Main Menu

Saturday 26 May 2012

Tenaga Bahagian 9


Tenaga: Nota (Qi)

Nota: Qi

SIFAT tubuh manusia yang berupaya menyerap haba memang sedia diketahui umum. Karekter haba yang sebenarnya tenaga juga memang sedia diketahui umum. Ia kerana haba adalah sebahagian daripada produk tenaga.
Tubuh manusia dibina daripada mampatan atom yang berupaya menghasilkan tenaga. Bagaimanapun, tenaga yang ada di dalam tubuh manusia terhasil daripada zat-zat pemakanan dan rangsangan luar seperti menerima cahaya matahari dan juga kombinasi gas-gas (yang bercampur) yang membantu fungsi sistem pernafasan.
Tanpa makanan dan rangsangan luar, tubuh manusia tetap tidak akan mampu menghasilkan tenaga atau menggunakan tenaga. Tanpa makanan dan rangsangan luar juga, manusia akan menjadi lemah kerana tidak cukup tenaga.
Melalui keterangan di atas, ia memberi gambaran seolah-olah tubuh manusia boleh diumpamakan seperti seketul bateri yang boleh dicaj semula apabila kehabisan tenaga. Apabila bateri menjadi lemah kerana kehabisan tenaga, ia perlu dicaj semula untuk menyimpan tenaga.
Begitu juga dengan tubuh manusia, memerlukan makanan dan rangsangan luar yang cukup bagi mengembalikan tenaga. Sifat tubuh menyerap tenaga daripada sumber makanan serta rangsangan luar menjadi faktor dalam melihat dengan lebih jelas mengenai kemampuan tubuh yang sebenar.
Tubuh mampu menyerap haba dan mampu juga menyerap tenaga secara terus daripada sumber rangsangan luar. Malah, seseorang juga mampu menyerap sebahagian kecil tenaga daripada tubuh orang lain dan juga boleh mengalirkan tenaga kepada tubuh orang lain.
Tradisi orang Cina dan Jepun memanggil ia sebagai Qi (disebut chee). Orang Melayu pula memanggil ia sebagai tenaga batin atau kuasa batin. Tidak perlu salah faham apabila disebut tenaga batin yang sering dikaitkan dengan perihal syahwat. Kontekstenaga batin bukan mengenai syahwat. Maka, eloklah diperbetulkan pemikiran yang berselaput nafsu.
---------
Nota Umat Terakhir ini bukan bertujuan untuk menerangkan mengenai maksud Qi seperti yang difahami oleh orang Cina secara keseluruhan. Kita tidak fokus kepada Qi kerana ia hanya sekadar nama yang diberikan orang Cina untuk merujuk kepada‘tenaga’ itu. Fokus dalam nota ini merujuk kepada ‘tenaga’ itu yang mempunyai banyak nama, yang mana nama-nama berbeza itu diberikan oleh bangsa-bangsa yang mengenali tenaga itu.
Walaupun nota ini merujuk kepada ‘tenaga’ itu, kita akan memanggilnya dengan istilah Qi dalam sepanjang nota ini sebagai ‘penanda’ untuk membantu kefahaman sepanjang kita merujuk kepada tenaga itu. Setiap kali perkataan Qi disebut, ia merujuk kepada tenaga itu.
---------
Qi wujud dalam semua objek di alam semesta. Kewujudan Qi dalam semua objek di alam semesta ini adalah sama seperti wujudnya atom dalam semua jenis makhluk fizikal termasuk batu. Qi adalah tenaga, atom juga adalah tenaga.
Jika setiap objek mempunyai Qi, maka semua objek boleh berhubung dan berkongsi tenaga sesama sendiri. Jika semua rumah ada telefon, maka semua orang boleh membuat panggilan ke semua rumah. Faham?
Dalam buah-buahan dan bijirin (antara jenis objek fizikal dalam alam semesta) juga ada Qi, jadi manusia mendapat tenaga selepas makan bahan-bahan tersebut. Qi yang terdapat dalam makanan juga membantu memulihkan tenaga tubuh apabila ia bertindak sebagai penawar atau ubat. Jelas?
Sama juga dengan manusia dan haiwan, produk kumuh (najis) ada sisa Qi, jadi tumbuh-tumbuhan mendapat khasiat selepas diberi baja najis. Objek yang mereput seperti bangkai, daun kering dan sebagainya juga mengandungi sisa Qi yang diserap oleh tumbuhan sebagai baja.
Ada kitaran tenaga Qi di situ. Tenaga berpindah dan berubah dalam kitaran ini. Ia konsisten seperti yang diberitahu dalam artikel-artikel tenaga sebelum ini. Oleh yang demikian, Qi adalah satu kod tenaga jenis sama yang dimiliki oleh semua objek fizikal di alam semesta.
Makhluk-makhluk yang tidak mempunyai fizikal pula, tidak dapat diterangkan sama ada turut mempunyai Qi atau tidak kerana kita tidak mempunyai peluang untuk mengamati sifat mereka disebabkan sifat mereka yang tidak boleh dilihat. Dalam nota ini, kita hanya fokus kepada makhluk yang mempunyai bentuk fizikal sahaja.
Setiap objek fizikal berupaya menjana Qi serta membebaskan Qi. Untuk melihat kemampuan membebaskan Qi, kita wajar melihat kepada fungsi tumbuhan yang membebaskan oksigen. Matahari pula membebaskan haba dan cahaya. Melalui contoh-contoh itu, Qi juga wujud dalam pelbagai bentuk seperti udara dan haba serta cahaya.
Walaupun berbeza dari segi bentuk (udara, cahaya atau haba), perbezaan itu tetap mempunyai persamaan iaitu Qi yang terdapat dalam setiap terbitan-terbitan yang berbeza bentuk itu. Walaupun oksigen itu berbeza daripada haba, ia tetap mempunyai Qi untuk saling membantu. Qi yang terdapat dalam sesuatu objek akan membantu melengkapkan fungsi objek lain apabila kedua-dua Qi itu berinteraksi.
Kayu mempunyai Qi, api juga mempunyai Qi dan oksigen juga mempunyai Qi, manusia juga mempunyai Qi. Kita lihat interaksi ketiga-tiga itu. Qi pada kayu akan melakukan‘contact’ dengan api sehingga menjadikan kayu itu terbakar. Kayu itu pula tidak akan terbakar jika tiada oksigen, maka Qi pada kayu dan api akan berinteraksi pula dengan Qi pada oksigen.
Apabila kayu itu terbakar selepas ketiga-tiga Qi itu berinteraksi, ia akan menghasilkan haba yang turut mempunyai Qi. Haba yang mempunyai Qi itu pula akan diserap oleh tubuh manusia yang juga mempunyai Qi.
Qi yang berada pada kayu, oksigen, api dan haba itu melakukan interaksi dengan Qi yang ada dalam tubuh manusia. Jadi apakah itu Qi yang sebenarnya? Qi adalah sejenis tenaga yang melengkapkan interaksi berkitaran antara satu makhluk dengan makhluk yang lain.
Qi juga boleh diumpamakan seperti ‘pencangkuk gerabak’ yang mencantumkan gerabak-gerabak keretapi menjadi sebuah keretapi yang panjang. Tanpa pencangkuk itu, gerabak-gerabak keretapi tidak dapat dicantumkan. Setiap gerabak mempunyai pencangkuk (perumpamaan kepada Qi), dan satu pencangkuk (Qi) akan dicantumkan dengan pencangkuk (Qi) yang lain, dan pencangkuk pada gerabak-gerabak yang lain akan mencantumkan gerabak yang lain-lain. Faham?
Dengan adanya tenaga yang dipanggil Qi ini, maka setiap objek atau makhluk dapat berinteraksi sesama mereka. Planet-planet dapat berinteraksi sesama mereka tanpa berlanggar sesama sendiri dalam jarak dan ruang masing-masing. Pada masa yang sama, planet-planet itu berinteraksi pula dengan matahari dan juga bulan masing-masing.
Bulan pula berinteraksi dengan planet dan mempengaruhi fenomena pasang surut paras laut. Qi bulan berinteraksi dengan Qi lautan. Pertalian Qi dalam semua jenis objek wujud secara harmoni dalam kitaran tenaga murni.
Bagaimanapun, Qi hanyalah istilah yang digunakan untuk merujuk tenaga itu. Kita tidak merujuk kepada Qi seperti yang difahami orang Cina secara keseluruhannya dalam nota ini.
---------------------------
Allah Maha Kuasa lebih mengetahui
----------------------------
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawasesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).” (Quran, al-Baqarah: 165)

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

Powered by Blogger.

Search