Main Menu

Saturday 26 May 2012

Tenaga Bahagian 6


Memahami maksud melepasi tahap

SESEORANG manusia mampu memindahkan tenaganya kepada manusia lain sebagaimana sebuah kereta meminjamkan baterinya kepada kereta lain menggunakan ‘jumper cable’ bagi menghidupkan enjin kereta yang satu lagi itu. Tenaga boleh dipindahkan dari seorang manusia kepada manusia yang lain, ia boleh, bukan fantasi.
Malah, mesej yang berada dalam minda seseorang manusia juga boleh dipindahkan kepada manusia lain sebagaimana isyarat visual yang dihantar melalui sebuah kamera video secara live menggunakan bantuan isyarat satelit bumi (parabola) dan satelit orbit secara serentak sebelum ia sampai secara ‘real time’ ke kaca televisyen di rumah masing-masing. Ia juga bukan fantasi.
Mesej minda antara seorang manusia dengan manusia lain dihantar secara livesepertimana kita sedang menonton perlawanan bola sepak yang menghubungkan antara kamera dengan satelit dan televisyen. Semua ini difikir perlu disampaikan kepada semua sebagai usaha untuk memurnikan semula tenaga masing-masing dan disampaikan dalam terma yang sangat sederhana bagi memudahkan pemahaman.
Untuk memahami perkara ini, kita wajar memahami tenaga yang ada dalam diri masing-masing dan juga tenaga yang ada dalam diri orang lain serta tenaga yang berlegar di persekitaran yang kita duduki. Ia kerana tenaga ini adalah suatu anugerah yang cukup hebat daripada Pencipta kepada para hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Anda semua (terutama individu OBA) sila fahami baik-baik.
---

Memahami Tenaga
Tenaga jika diterangkan mengikut fizik, ia tidak akan jauh berbeza dengan penerangan hakikat menurut tradisional (mengikut kefahaman beberapa bangsa spiritual) walaupun dalam subjek-subjek tertentu akan bertemu dengan penerangan berbentuk ‘stranger than fictions’ terutama apabila kedua-duanya (fizik dan tradisi) bertembung.
Teori fizik dan teori tradisi biarlah masing-masing dengan dahan serta ranting masing-masing. Kita tidak mahu lagi berpaut pada dahan atau ranting fizik dan tradisi kerana ia hanya sekadar teori yang hanya difahami sebaik-baiknya oleh orang yang mencipta teori itu sahaja. Bukan bermaksud kita gagal memahami fizik dan tradisi, tetapi kita harus mencari sendiri jawapan-jawapan itu. Kita di sini pula tidak pernah menyediakan jawapan, kita di sini hanya menyediakan cara untuk kamu mencari jawapan sendiri. Tidak pernah lebih daripada itu.
Kita di sini tidak pernah memaksa kamu menerima pemikiran kami di sini, kita tidak pernah cuba mengongkong pemikiran kamu dengan meminta kamu mempertimbang pemikiran kami di sini, meminta mempertimbang juga tidak pernah apatah lagi memaksa untuk menerima, kita di sini membiarkan kamu berfikir dengan sendiri selepas kami menghamparkan tikar yang bersih daripada debu-debu sepaya kamu berasa selesa untuk duduk dan berfikir bagi mencari jawapan. Begitu juga dalam memahami tenaga ini, fahami baik-baik.
Tubuh, memerlukan haba apabila ia kesejukan. Tanpa haba, badan akan menggigil dan beransur lemah kerana sifat darah yang panas mula terganggu dalam persekitaran yang sejuk. Akibatnya, suhu badan menurun daripada paras sepatutnya kerana tiada sumber haba untuk mengekalkan koordinasi antara haba tubuh dengan tenaga.
Oleh itu, seseorang perlu mencari kayu api untuk dibakar bagi memanaskan badan. Dalam situasi menangani masalah kesejukan itu, kamu akan melihat bagaimana proses tenaga berputar dalam kitarannya.
Kayu api memiliki tenaga di dalamnya kerana ia belum musnah. Apabila kayu itu dibakar, ia menghasilkan api. Manakala api itu adalah haba, dan haba ialah tenaga.
Lihat proses ini pula. Tubuh yang kesejukan tadi akan mula menyerap haba dan badan kembali beransur panas pada paras suhu yang ideal, ia juga semakin mengurangkan risiko hipotermia dan masalah kesihatan lain akibat suhu sejuk tadi. Tubuh menyerap haba dan cahaya daripada api, dan haba serta cahaya itu adalah tenaga. Apabila tenaga diserap, tubuh kembali pulih mengikut keperluannya iaitu keperluan untuk terdedah kepada haba bagi mengatasi masalah kesejukan.
Maka melalui contoh itu, tubuh memang boleh menyerap tenaga yang berada di sekitarnya. Ia adalah penerangan yang sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman terhadap keupayaan tubuh berinteraksi dengan setiap zarah tenaga yang berada dalam persekitaran. Maka apabila tenaga itu hadir dalam bentuk radiasi radioaktif pula, tubuh pastinya menyerap dan akan menderita segala akibatnya. Ia mudah.
Contoh itu bagaimanapun hanya tertumpu kepada satu arah iaitu tenaga dari luar masuk ke dalam tubuh (Outside-to-Inside). Melalui arah normal itu, seseorang tidak akan dapat merasai sesuatu yang luar biasa dari dalam dirinya melainkan mendapat manfaat haba yang panas untuk memulihkan tenaga semata-mata.
Oleh itu untuk melepasi tahap interaksi tenaga yang normal ini, seseorang perlu belajar mengenai bagaimana untuk membebaskan tenaga dari dalam tubuhnya iaitu Inside-to-Outside dan berkoordinasi pula dengan arah normal iaitu Outside-to-Inside. Falsafah untuk memahami perkara ini juga mudah, “tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.”... The more you give, the more you will get.
Outside-to-Inside adalah keadaan di mana kita menjadi penerima tenaga dari luar, kita seperti panel-panel solar yang menyerap haba untuk dimanfaatkan menjadi tenaga. Arah yang sebaliknya pula ialah keadaan di mana kita membebaskan/memberi tenaga kepada manusia/makhluk yang lain. Keadaan di mana kita seperti matahari yang membekalkan cahaya dan tenaga kepada panel-panel solar dan manusia. Sekarang faham ‘maksud’ sebenar ‘dewa matahari’ pada tingkat lapisan pemikiran di tahap ini? Mereka memberi semua yang kamu semua mahu sehingga kamu semua musnah seperti yang mereka mahu.
Namun apabila manusia/makhluk yang menerima tenaga itu juga mampu melepasi tahap arah yang normal iaitu mampu juga membebas/memberi tenaga sepertimana kamu memberi tenaga kepadanya, maka terbentuk satu kitaran tenaga dalam ruang tersendiri kerana masing-masing melengkapkan kitaran Inside-Outside-Inside. Melepasi tahap ini pula bukan mudah seperti mudahnya tubuh menyerap haba.
Ia terjadi apabila dua individu yang mampu membebas tenaga secara Inside-to-Outsidesaling berinteraksi sesama sendiri pada waktu tersendiri di ruang tersendiri dengan kekuatan tenaga tersendiri. Ia interaksi eksklusif antara dua tingkat tenaga dan minda bagi dua manusia. Jika Ahmad di Kuala Lumpur dan Abu di Singapura, kedua-dua ini tidak mempunyai masalah untuk berhubung jika mereka tahu Outside-to-Inside danInside-to-Outside tetapi mengambil masa tersendiri sementara menunggu tenaga Ahmad sampai kepada Abu dalam bentuk mesej, ia bukan sampai secara live-time, tetapi real-time (sekadar mengguna pakai istilah media).
Jika keadaan Outside-to-Inside menjadikan tubuh menyerap haba dari api sebagai contoh, maka keadaan Inside-to-Outside pula memerlukan banyak contoh supaya ia dapat difahami dengan baik. Ia seperti matahari membebaskan tenaga cahaya dan radiasi, juga seperti gelombang frekuensi yang wujud di serata galaksi selepas letupan supernova iaitu kiamat para bintang, juga seperti isyarat dari kamera video yang dipancarkan secara live dari stadium bolasepak ke peti televisyen di rumah-rumah, seperti hubungan satelit bumi dengan satelit orbit sebelum dipancar ke satelit-satelit bumi yang lain pula, seperti air hujan yang turun ke bumi dan mengalir ke sungai juga laut sebelum diserap matahari menjadi awan dan turun semula sebagai hujan dalam kitarannya yang lengkap.
Setiap yang berada di bumi dan galaksi, tercipta dalam keadaan yang mempunyai kitaran masing-masing. Bintang-bintang mempunyai kitaran hayatnya tersendiri, malah bintang juga mempunyai kitaran peranannya dalam galaksi yang didudukinya, juga mempunyai kitaran dengan galaksi yang berjiran dengan galaksinya, juga mempunyai peranan dalam kitarannya dengan bintang-bintang yang lain, mempunyai kitaran dalam alam semesta yang dihuninya. Apabila ia kiamat dengan letusan supernova, maka tenaganya akan terbebas sambil membebaskan gas-gas yang kemudiannya juga mempunyai peranan dalam penghasilan semula bintang baru dalam ruang vakuum alam raya.
Objek-objek dan subjek-subjek yang berada di seluruh alam raya mempunyai kitaran yang saling bersangkut paut dan kitaran itu pula bergerak dalam suasana yang sangat harmoni. Ada yang bertimbal secara satu hala, ada pula yang bertindak balas secara dua hala. Objek yang bertindak dua hala itu ada juga di antaranya sebagai sebilangan bintang-bintang, sebilangan gas-gas, ruang-ruang vakuum di galaksi, air-matahari... dan sebilangan MANUSIA.
Perhatikan pula contoh ini, mengapa Ali takut kepada Abu semasa Abu memandangnya walaupun Abu tidak sekalipun menunjukkan yang dia memarahinya? Ia kerana Ali hanya menyerap tenaga (mungkin sesuai disebut sebagai Aura dalam konteks ini) yang dibebaskan Abu, akhirnya Ali takut kepada Abu kerana Ali hanya menyerap dan Abu pula membebaskan tenaga secara ekstrem terhadap Ali.
Semua manusia membebaskan tenaga tetapi ia belum bermaksud bahawa semua manusia sudah melepasi tahap itu. Kelmarin kamu berjaya melompat longkang yang panjangnya lima kaki kerana terlalu takut dikejar anjing tidak bertuan, tetapi hari ini kamu terjatuh ke dalam longkang itu kerana tidak melepasi semasa melompat. Pada waktu tertentu, tenaga yang tidak pernah digunakan akan terkumpul dan dibebaskan secara optimum pada masa ia perlu digunakan seperti dalam keadaan terpaksa melompat melepasi longkang itu tadi.
Begitu juga dengan tenaga dua arah. Pada waktu tertentu ia terhasil dan terbebas. Membezakan antara manusia yang berjaya melepasi tahap tenaga ini ialah kemampuan untuk mengawalnya menggunakan fungsi minda. Maka, di sini wujud kitaran antara tenaga dengan minda yang saling berkait. Tanpa kekuatan dan kemampuan lapisan minda tertentu, tenaga tidak akan dapat dikawal mengikut arah (channel) seperti yang dikehendaki oleh minda. Apabila Abu mahu menceroboh minda Ali, dia boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dia suka kerana Abu mampu mengawal tenaga dan mindanya sendiri. Ali pula menjadi mangsa kerana Ali hanya tahu menyerap tenaga yang di-channel oleh Abu. Ali juga tidak mampu melawan Abu kerana Ali tidak tahu bagaimana untuk ‘menolak’ tenaga Abu supaya keluar dari ruang mindanya.
Apabila berlaku kitaran yang tidak lengkap, salah seorang atau ramai akan menjadi mangsa. Cuba tanya SportsTOTO, Magnum atau lain-lain syarikat gergasi nombor ekor seluruh dunia, adakah mereka berani mendedahkan identiti orang-orang yang membuat keputusan nombor bertuah yang mana satu akan menang pada esok hari? Jika identiti mereka ini diketahui, kamu pasti dapat meneka apa akan berlaku. Tycoon-tycoon syarikat nombor ekor dan loteri sedia tahu rahsia ini. Oleh itu, orang-orang yang membuat keputusan nombor mana satu yang akan menang esok hari itu kekal menjadi identiti yang tidak pernah dihebahkan. Mereka tidak mahu menjadi mangsa dalam kitaran yang tidak lengkap seperti ini.
---

Tahap tenaga dan minda
Karekter tenaga ialah ada yang kuat dan ada juga yang lemah. Kekuatan tenaga pula amat bergantung kepada tahap kesihatan tubuh. Manakala tahap kesihatan tubuh berkoordinasi pula dengan kecerdasan minda. Untuk memiliki minda yang kuat, maka tubuh mesti sihat dan kuat.
Untuk dominan dalam kitaran tenaga, tubuh dan minda pula mesti kuat seiring. Tubuh yang kuat tidak akan berguna jika minda lemah, pasti mudah tewas di tangan musuh yang bertubuh lebih kecil jika musuh itu lebih kuat semangat di mindanya.
Maka, orang yang bertubuh kecil itu pula boleh menjadi sama besar dengan musuhnya yang bertubuh besar dan sasa itu. Ia boleh dibuat melalui latihan fizikal supaya dapat membesarkan otot-otot tubuh, dia juga boleh menjadi lebih kuat dan lebih digeruni apabila semangatnya besar dan membara di mindanya.
Tenaga boleh berubah tahap seperti pahlawan bertubuh kecil itu yang akhirnya menjadi besar dan kuat selepas berusaha menjalani latihan fizikal yang menguji semangat dan ketahanan mentalnya.
Lebih kuat tubuh maka lebih banyak tenaga yang mampu dibebaskan. Namun, kuat tidak bermaksud sesuatu itu mesti besar seperti besarnya tubuh musuh kepada pahlawan kecil itu tadi. Tenaga boleh diperkuatkan dan perlu diperkuatkan melalui penjagaan tubuh yang sihat. Tahap tenaga dalam tubuh yang sihat akan cepat berkembang dan berubah ke tahap-tahap yang lain.
Apabila tenaga dalam tubuh manusia itu berada pada tahap kekuatan yang optimum, ia sebenarnya perlu seimbang dengan kekuatan minda untuk mengawal setiap tenaga yang ada dalam tubuh. Tenaga bukan sekadar menumbuk muka musuh sehingga gugur semua gigi sang musuh, itu hanya tenaga fizikal. Tenaga ini akan mencapai tahap yang satu lagi apabila minda tahu bagaimana cara untuk mengawalnya.
Untuk mengawal tenaga ini, minda juga perlu melepas tahap tertentu. Tanpa kemampuan melepasi tahap ini, minda tidak akan mampu mengawal tenaga yang berada dalam tubuh. Tenaga tubuh akan berubah ke tahap lebih tinggi apabila tubuh menjadi lebih kuat, tetapi untuk memastikan minda melepasi tahapnya, ia sebenarnya tidak memerlukan perkaitan dengan tenaga tubuh.
Minda akan tetap mampu melepasi tahapnya walaupun tenaga fizikal berapa pada tingkat lama. Tetapi, tenaga yang dapat dikawal minda itu hanya pada tahap lemah dan mudah dipatahkan. Untuk tidak mahu lemah, tenaga fizikal harus diperkuatkan. Pertalian antara peningkatan tahap tenaga fizikal dengan tahap minda hanya akan terwujud jika seseorang mahu kemampuan mengawal tenaga melalui minda melepasi tahap sebelumnya.
Apabila tenaga fizikal berada pada tahap yang boleh dikatakan cukup kuat, maka pengawalan tenaga melalui kekuatan minda akan membawa seseorang itu kepada kemampuan telekinetik dan ia sesuatu yang tidak mustahil. Tahap kekuatan tenaga akan membawa seseorang kepada tahap-tahap ESP tersendiri manakala nisbah tenaga fizikal dengan tahap-tahap minda belum kita temui penjelasan.
Kekuatan tenaga fizikal juga akan membolehkan mesej dalam minda boleh digerakkan secara pantas dalam ruang tenaga persekitaran untuk disampaikan kepada individu yang lain. Kekuatan tenaga fizikal juga boleh membawa minda seseorang melepasi tahap telepathic yang berupaya menghubungkan dua individu dalam skop komunikasimind-to-mind. Untuk melepasi tahap ESP telekinetik dan telepathic, tenaga fizikal mesti cukup kuat dan bagaimana untuk mengetahui bahawa tenaga itu cukup-cukup kuat pula ia adalah sesuatu yang tidak perlu dibincang di sini.
Perkara yang cuba diberitahu di sini ialah, minda perlu melepasi tahap tertentu dan kemampuan minda melihat dalam perspektif ESP bukan sekadar di ruang lingkup penglihatan OBA semata-mata. Daya penglihatan minda perlu melepasi ruang penglihatan OBA kerana tiada apa-apa yang terlalu istimewa dengan OBA melainkan hanya ‘hiburan berwarna’ ketika mata dipejam. Itu sahaja.
Penglihatan minda perlu melepasi warna-warna dan bentuk-bentuk OBA serta lapisan-lapisan persepsi. Itu hanya tingkat pertama dan ada enam lagi tingkat (bilangan tingkat bergantung kepada individu) yang perlu dilepasi sebelum minda berada di tahap yang berkemampuan seperti satelit.
Salah satu tingkat itu pula akan membawa minda berada di luar pemikiran biasa dan mampu merasai setiap tenaga yang berada di persekitaran dan dapat juga merasai tenaga-tenaga lain yang sedang menghampiri tubuh, hanya dapat merasa tetapi tidak tahu apa-apa mengenainya. Namun apabila sudah melepasi tingkat atau tahap ini, hanya kamu sendiri yang dapat bercerita mengenainya, bukan mana-mana manusia lain kecuali kamu sendiri sahaja kerana ia adalah tahap kamu di ruang kamu sendiri.
Tiada sesiapa akan mengetahui rupa bentuk ruang kamu itu sehingga ada orang yang menceroboh untuk meninjau di dalamnya, pun begitu penceroboh itu masih belum mampu melihat keseluruhan ruang kamu kerana dia hanya seperti mengintai dari tingkap sahaja. Ruang itulah yang membolehkan kamu memanfaatkan kekuatan minda pada tahap yang maksimum. Ruang itu pula boleh dilepasi lagi, namun akan selalu ada risiko-risikonya yang belum dapat dan belum termampu dihitung.
---
Semua itu terkandung dalam makhluk yang dinamakan sebagai tenaga. Di sebalik tenaga, ada perkara-perkara yang tidak mampu dijelaskan dengan logik akal. Namun, itulah tenaga yang berada dalam diri dan yang sedang berlegar di sekeliling kita. Tenaga-tenaga itu boleh diserap tubuh yang memberikan hasil manfaat atau memusnahkan tubuh.
Itu sahaja sebahagian yang boleh difahami oleh ‘orang-orang bukan ahlinya’. Jika dikhabarkan lebih lanjut sekalipun, ia akan tetap sukar difahami sekiranya tidak mengalami rangsangan-rangsangan tenaga ini. Ahli di sini pula bukan untuk membezakan, merendahkan atau meninggikan sesiapa, ia hanya sekadar isyarat kepada mereka yang diberi kelebihan berinteraksi dengan tenaga-tenaga ini.
Kita tidak mahu mendalami perkara ini dalam artikel ini, cukup sekadar menyediakan kefahaman kepada mereka yang meminta supaya difahamkan mengenainya. Jika tidak diberi kekuatan untuk mengalami (Inside-to-Outside) tenaga-tenaga ini, maka sediakanlah persekitaran tenaga yang baik kepada mereka-mereka yang diberi kelebihan. Amal kebaikan akan membantu menyediakan persekitaran tenaga yang baik kepada mereka-mereka itu. Persekitaran tenaga yang baik juga akan mudah mematahkan tenaga-tenaga jahat yang gigih berusaha menyesatkan manusia. Semua daripada kita semua adalah tertakluk dalam kitaran ini. Walau siapa pun kita, kita tetap tertakluk kepada segala peraturan-NYA.

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts

Powered by Blogger.

Search